Sunday, June 22, 2008

12,000 kambing bermutu tinggi daripada baka ‘Boer’ bagi pasaran tempatan dan eksport


CHUKAI: Kerajaan Terengganu bercadang mengeluarkan 12,000 kambing bermutu tinggi daripada baka ‘Boer’ bagi pasaran tempatan dan eksport menjelang tahun depan.

Sehingga Jun 2007, 5,200 kambing daripada baka itu diternak di Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB) dan beberapa ladang lain di negeri ini bagi pasaran tempatan untuk tujuan sembelihan dan baka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata kerajaan negeri memberi tumpuan khusus terhadap ternakan kambing baka itu yang dianggap terbaik dan mampu mencecah nilai RM8,000 seekor.

Beliau berkata, sehingga akhir tahun 2007, kerajaan negeri mensasarkan untuk menghasilkan 7,200 ekor kambing baka yang sama, manakala 12,000 ekor tahun depan sempena Hari Peladang dan Penternak peringkat kebangsaan 2008 yang akan diadakan di negeri ini.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat giat melatih usahawan dan penternak muda termasuk siswazah.

"Kerajaan negeri kini sedang berusaha mempertingkatkan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air ke semua ladang ternakan seluruh negeri di samping membaiki sebarang kelemahan yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Lelongan Ternakan LRTSB di LRT Livestock, Bandar Ceneh Baru, pada Jun 2007.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan Terengganu (JPHT), Dr Azizol Mohd Sharom dan Pengerusi LRTSB, Alias Abdullah.

Kira-kira 1,000 ternakan bernilai hampir RM1.5 juta dilelong membabitkan ternakan LRT Livestock, Perfect Agro Sdn Bhd dari Selangor, JPHT dan orang perseorangan dengan harga lelongan seekor lembu dan kambing bermula RM500, manakala kerbau RM1,800.

Mohd Jidin berkata, usaha mengadakan karnival lelongan dilakukan LRTSB yang turut mendapat kerjasama pelbagai agensi awam dan swasta berjaya membuka era baru pada sektor pertanian dan ternakan di negara ini.

Beliau berkata, karnival terbesar pernah diadakan di negara ini dan pertama kali di negeri ini adalah pendekatan terbaik bagi memasarkan produk ternakan dari seluruh negeri dan ia akan dijadikan program tahunan LRTSB.

Mengenai penyakit kuku dan mulut katanya, kerajaan negeri amat bertegas dengan wabak itu dan JPHT sentiasa menjalankan pemantauan di semua ladang ternakan di seluruh negeri.

"Hingga kini tiada kes dilaporkan dan keluaran daging negeri ini bermutu tinggi serta bebas daripada wabak itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi LRTSB, Alias Abdullah, berkata syarikat peladangan itu kini menternak lembu daripada baka Brahman Cross, Droughtmaster, Yellow Cattle dan KK Cross di ladang seluruh negeri.

Beliau berkata, antara baka kambing yang dipelihara ialah Jamnapari dan Boer Kacukan serta Fullblood, Katjang dan tempatan melalui kaedah kacukan.

"LRTSB juga merancang mengeluarkan sehingga 3,000 lembu, 7,000 kambing dan 1,000 kerbau setahun bagi memenuhi keperluan tempatan selain membekalkan baka terbaik kepada penternak," katanya.

Katanya, sehingga 2010, LRTSB merancang meluaskan kawasan penanaman kelapa sawitnya kepada 50,000 hektar dan kawasan itu juga mampu menternak sehingga 10,000 ekor lembu dan 15,000 kambing setahun.

FAKTA:

Projek ternakan kambing baka boer
12,000 - Sasaran kambing baka Boer menjelang 2008
5,200 - Jumlah sehingga Jun
RM8,000 - Nilai seekor.

Sumber: Berita Harian 24 Jun 2007


0 comments: