Monday, July 28, 2008

AgroHUB tawar tujuh perladangan kontrak

ARKIB Utusan Malaysia: 25/07/2008

AgroHUB menawarkan tujuh peluang perladangan kontrak dan kontrak jaminan belian semula melalui seminar di Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 2 dan 3 Ogos ini, menampakkan petanda baik dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melonjakkan sektor pertanian dan makanan negara.

AgroHUB yang merupakan projek Kumpulan Perintis Niaga bagi tahun 2008-2010 menjadikan slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ sebagai matlamat dan sasaran yang perlu dicapai dalam usaha memperkasakan sektor pertanian negara.

Ketua Pengarah Seminar, Norzana Rafie, dengan meletakkan sasaran ‘Pertanian Adalah Masa Depan’, projek AgroHUB 2008-2010 dilihat mampu membantu orang ramai memantapkan ekonomi mereka serta mengurangkan kadar inflasi negara dengan jumlah pendapatan per kapita negara dapat ditingkatkan.

Orang ramai yang berminat untuk mengusaha dan memulakan projek ikan ketutu, ikan keli, cendawan, lintah, lembu, kambing dan cacing dinasihatkan menyertai seminar tersebut.

Pemilihan industri-industri tersebut adalah berdasarkan potensi, kadar pulangan dan berdasarkan permintaan yang tinggi terhadap hasil-hasil pertanian tersebut.

Turut menyertai seminar pada kali ini adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang kini membuka lebih banyak perladangan kontrak kepada masyarakat dan menggunakan konsep yang lebih menguntungkan pengusaha yang berada di bawah rangkaian mereka.

Peserta-peserta seminar pada kali ini berpeluang mendapat penerangan berkenaan teknik mengusahakan projek yang ditawarkan.Ini termasuk keluasan tanah yang diperlukan, cara memulakan projek, modal yang diperlukan, pelan induk perniagaan, perangkaan keuntungan dan bentuk kerjasama yang ditawarkan oleh syarikat kepada peserta projek.

Asasnya, dua bentuk kerjasama yang ditawarkan sama ada melalui perladangan kontrak dan jaminan belian semula yang kedua-duanya meletakkan peserta projek terikat untuk menjual hasil ternakan dan pertanian kepada syarikat tersebut dengan harga yang telah ditetapkan.

Peserta-peserta yang memasuki projek tersebut akan dibiayai oleh Tekun Nasional bagi membantu mereka menjayakan projek tersebut.

Bagi mereka yang belum mendaftar, sila berhubung dengan urus setia seminar di talian 03-6187 3796 atau 019-3310985.

0 comments: