Tuesday, July 29, 2008

RM500j insentif ringan beban sektor pertanian

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
Utusan Malaysia, 9 Jun 2008

JELI 8 Jun - Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM500 juta pada akhir bulan ini untuk membantu golongan petani, penternak dan nelayan ekoran kenaikan pelbagai kos termasuk bahan bakar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bantuan berupa insentif tunai itu akan di agihkan kepada golongan tersebut selepas mereka mendaftar dengan Jabatan Pertanian di daerah masing-masing.

Beliau berkata, bantuan tersebut merupakan langkah meringankan beban rakyat terutama golongan rendah dan pertengahan berikutan kenaikan pelbagai kos sara hidup termasuk pertanian sejak kebelakangan ini.

"Kerajaan memahami kenaikan input pertanian yang membebankan golongan petani, penternak dan nelayan, lantaran itu kita telah membuat keputusan dan bersetuju menampung sebahagian kenaikan kos pengeluaran tersebut.

"Insentif dalam bentuk tunai tersebut akan mula diagihkan apabila peruntukan sebanyak RM500 juta diterima pada akhir bulan ini kepada golongan berkenaan yang mendaftar dengan Jabatan Pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pusat Urusan Sehenti Perkhidmatan dan Informasi Agro Tani (Puspa Tani) Parlimen Jeli dan Hari Terbuka bersama Pakar Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) di Kompleks Rehat & Rawat Jeli di sini hari ini.

Turut serta Pengarah Pertanian Negeri, Maliha Ghazali, Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah dan Pengarah Pusat Pengembangan Keusahawanan dan Kemajuan Profesional UPM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr. Azimi Hamzah.

Mustapa berkata, melalui bantuan tersebut, kerajaan akan menampung 20 hingga 30 peratus daripada kos pengeluaran terutama di kalangan pengusaha tanaman, penternakan dan akuakultur.

Katanya, bantuan tersebut adalah galakan kepada golongan tersebut supaya meneruskan aktiviti pertanian dan membantu usaha kerajaan untuk menambah pengeluaran makanan negara.

0 comments: