Monday, July 28, 2008

Kubur Islam Lama Bakal Jadi Tanah Pertanian di Temerloh

ARKIB Utusan Malaysia : 17/07/2008


TEMERLOH Penduduk Kampung Kemuning, Lanchang dekat ini mendakwa tanah perkuburan lama seluas kira-kira enam hektar di kampung itu diluluskan untuk dimajukan dengan projek pertanian.Ketua UMNO Cawangan Teris, Ahmad Budir Nipah, 35, yang mewakili penduduk mendakwa bahawa Pejabat Tanah Daerah Temerloh telah memberikan kelulusan tanah lesen pendudukan sementara (TOL) seluas 50 ekar termasuk tanah perkuburan berkenaan kepada individu tertentu bagi mengusahakan projek pertanian terbabit.

"Kita berasa kesal walaupun cawangan UMNO Teris sudah membantah perkara ini tetapi berlaku juga penerokaan, jadi apa guna suara akar umbi kalau tidak dipedulikan oleh pemimpin dan kerajaan," katanya di sini semalam.

Beliau mendakwa pernah membuat bantahan pada dua tahun lepas kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin agar kawasan berkenaan tidak dimajukan, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Ahmad Budir mahu Pejabat Tanah Daerah Temerloh membatalkan kelulusan TOL itu dan kerajaan negeri memulihara kawasan tanah perkuburan itu yang menurutnya turut menjadi tempat persemadian pejuang yang menentang penjajah di Pahang yang dikenali sebagai Tok Uban.

- Bernama -

0 comments: