Monday, July 28, 2008

MAHA 2008 Dijangka Catat Pertambahan Jualan


24 Julai 2008

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensasarkan pertambahan dalam nilai jualan sebanyak 10 peratus pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008, daripada yang diperolehi pada MAHA 2006, kata Menterinya Datuk Mustapa Mohamed.

Katanya ini kerana MAHA 2008 diadakan dalam tempoh yang lebih lama iaitu selama 13 hari bermula 11 Ogos berbanding MAHA 2006 yang berlangsung selama enam hari dengan mencatatkan nilai jualan langsung sebanyak RM6 juta manakala RM110 juta lagi dalam bentuk tempahan.

" Kami juga menjangkakan ramai pengunjung dari luar negeri datang ke sini untuk melihat apa yang kita boleh tawarkan kepada mereka, dari segi produk dan teknologi baru untuk mereka import dari negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di Serdang dekat sini hari ini.

MAHA 2008 bermula pada 11 Ogos ini tetapi hanya dibuka kepada pelawat perdagangan sahaja pada hari itu. Ia akan dibuka kepada orang awam selama 12 hari mulai 12 Ogos dan perasmiannya akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Majlis perasmian turut disiarkan secara langsung oleh saluran RTM.

Berbanding sembilan negara pada 2006, Mustapa berkata sebanyak 13 negara akan turut menyertai pameran tahun ini termasuklah United Kingdom, Belanda dan Itali manakala Australia pula bakal menjadi negara tetamu berdasarkan kemajuan negara itu dalam bidang pertanian terutama dari segi teknologi dan pengeluaran, yang bakal memberi kesan kepada perkembangan pertanian dalam negara.

Australia juga akan turut mempersembahkan 'rodeo show' yang dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung daripada pelbagai peringkat umur, katanya.

Sebagai titik pertemuan antara mereka yang terlibat dalam bidang pertanian di seluruh negara, beliau yakin MAHA 2008 dapat memacu perkembangan positif bagi sektor pertanian dan industri asas tani negara ini.

0 comments: